30 November 2014

TERKINI! Borang Khas Untuk Sampul dan Kotak Prabayar PosLaju

Pos Malaysia telah memperkenalkan borang berwarna ungu (purple) - khas untuk penghantaran dokumen dan bungkusan yang menggunakan sampul dan kotak prabayar PosLaju.


Borang edisi lama (berwarna oren) masih boleh digunakan untuk penghantaran dokumen dan bungkusan yang tidak menggunakan sampul dan kotak prabayar PosLaju.

Maknanya, untuk dokumen yang menggunakan sampul surat biasa dan bungkusan yang dibalut dengan kertas pembalut masih boleh menggunakan borang jenis lama.

Saya dimaklumkan mengenai hal ini oleh salah seorang pegawai PosLaju semasa sedang membuat serahan di kaunter Pusat PosLaju Skudai (bersebelahan dengan Pejabat Pos Skudai) hari ini.

Borang hanya diberi mengikut jumlah sampul/kotak yang dibeli. Contohnya, sekiranya anda membeli 5 sampul surat prabayar PosLaju, anda akan menerima 5 helai borang berwarna ungu.


Sekiranya borang anda tidak boleh digunakan (salah tulis, terkoyak atau rosak), jangan dibuang. Sebaliknya, sila kembalikan ke kaunter untuk mendapatkan borang yang baru.

Pos Malaysia berbuat demikian kerana telah berlaku beberapa kes pemalsuan sejak akhir-akhir ini yang melibatkan sampul prabayar PosLaju - sila rujuk 'Waspada Sampul Prabayar PosLaju Palsu'.

Sekiranya anda mempunyai apa-apa soalan atau pertanyaan, sila hubungi Pos Malaysia di 1-300-300-300 atau hantarkan emel anda di care@pos.com.my.




04 November 2014

Waspada Sampul Prabayar PosLaju Palsu

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berwaspada dengan kewujudan sampul prabayar PosLaju palsu setelah Pos Malaysia Berhad telah mengesan perbuatan menjual dan mengedarnya dalam pasaran.

Dalam kenyataannya hari ini, Pos Malaysia menyatakan pengguna produk palsu itu menghadapi risiko barangan mereka tidak diterima untuk dihantar selain berdepan tindakan undang-undang.


"Pos Malaysia memandang serius perkara ini dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan hanya membeli sampul prabayar PosLaju tulen di pejabat pos, pusat PosLaju dan ejen PosLaju yang sah," katanya.

Sebuah pasukan petugas khas Pos Malaysia telah ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan wujudnya rangkaian penjualan dan pengedaran sampul prabayar PosLaju palsu di negara ini.

Hasil siasatan pasukan itu, sebanyak 1,300 sampul PosLaju palsu dengan pelbagai saiz dirampas setakat ini.

Kesalahan menghasilkan, mengedar, menjual dan memproses produk pos palsu dan tiruan boleh dihukum mengikut Seksyen 65 Akta Perkhidmatan Pos 2012, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan mereka, Pos Malaysia meminta Polis di-Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membantunya mengenal pasti dan menahan pihak yang tidak bertanggungjawab serta menghentikan kegiatan haram tersebut, yang memberi kesan besar terhadap perniagaannya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Pos Malaysia untuk melindungi pelanggannya, syarikat itu akan memperkenalkan lebih banyak ciri-ciri keselamatan pada produknya.

Pos Malaysia meminta orang ramai melaporkan sebarang kegiatan haram menghasilkan, mengedar dan menjual produk palsu Pos Malaysia dengan menghubungi PosLine 1-300-300-300 atau emel kepada care@pos.com.my atau cawangannya yang terdekat. - Bernama

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...