04 November 2014

Waspada Sampul Prabayar PosLaju Palsu

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berwaspada dengan kewujudan sampul prabayar PosLaju palsu setelah Pos Malaysia Berhad telah mengesan perbuatan menjual dan mengedarnya dalam pasaran.

Dalam kenyataannya hari ini, Pos Malaysia menyatakan pengguna produk palsu itu menghadapi risiko barangan mereka tidak diterima untuk dihantar selain berdepan tindakan undang-undang.


"Pos Malaysia memandang serius perkara ini dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan hanya membeli sampul prabayar PosLaju tulen di pejabat pos, pusat PosLaju dan ejen PosLaju yang sah," katanya.

Sebuah pasukan petugas khas Pos Malaysia telah ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan wujudnya rangkaian penjualan dan pengedaran sampul prabayar PosLaju palsu di negara ini.

Hasil siasatan pasukan itu, sebanyak 1,300 sampul PosLaju palsu dengan pelbagai saiz dirampas setakat ini.

Kesalahan menghasilkan, mengedar, menjual dan memproses produk pos palsu dan tiruan boleh dihukum mengikut Seksyen 65 Akta Perkhidmatan Pos 2012, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan mereka, Pos Malaysia meminta Polis di-Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membantunya mengenal pasti dan menahan pihak yang tidak bertanggungjawab serta menghentikan kegiatan haram tersebut, yang memberi kesan besar terhadap perniagaannya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Pos Malaysia untuk melindungi pelanggannya, syarikat itu akan memperkenalkan lebih banyak ciri-ciri keselamatan pada produknya.

Pos Malaysia meminta orang ramai melaporkan sebarang kegiatan haram menghasilkan, mengedar dan menjual produk palsu Pos Malaysia dengan menghubungi PosLine 1-300-300-300 atau emel kepada care@pos.com.my atau cawangannya yang terdekat. - Bernama

No comments:

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...