27 August 2015

Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Jubli Emas Masjid Negara

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan ulang tahun Masjid Negara ke-50 yang dibuka secara rasmi pada 27 Ogos 1965. Upacara pembukaan tersebut telah diserikan dengan kehadiran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
1. Duit Syiling Peringatan Emas (peruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 99.99 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 200 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (peruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 2,000 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,100 dan hanya terdapat 500 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM250 dan hanya terdapat 2,000 set sahaja. 
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
 

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:
1. Bahagian Hadapan Duit Syiling
Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan imej Masjid Negara dan perkataan Masjid Negara dalam tulisan bahasa Jawi. Perkataan JUBLI EMAS MASJID NEGARA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun “1965 - 2015” dan landskap Masjid Negara pula dipaparkan di bahagian bawah reka bentuk syiling tersebut.
2. Bahagian Belakang Duit Syiling
Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan logo perayaan sempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” pula dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka syiling tertera di bahagian bawah reka bentuk duit syiling ters

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 28 Ogos 2015 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) dan pejabat-pejabat perwakilan dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

 

13 May 2015

Teknologi Hakisan Dakwat Tangani Kes Kecurian ATM

Jika anda dapat duit seperti ini, jangan terima! Berkemungkinan besar ia adalah duit rompakan mesin ATM. Lebih teruk lagi, duit ini tidak sah diperlakukan dengan nilai.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan Teknologi Hakisan Dakwat iaitu kaedah mengotorkan wang kertas di dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang cuba dirosakkan atau dirompak bagi menghalang ia digunakan semula. 

Contoh Wang Kertas Kotor RM10, RM20, RM50 dan RM100
Tujuan utama teknologi ini diperkenalkan adalah untuk menangani insiden kecurian yang melibatkan mesin-mesin ATM di Malaysia. 

Paket kecil yang mengandungi dakwat akan diletakkan di dalam 'cassette' - iaitu suatu bekas yang menempatkan wang kertas di dalamnya. Sekiranya berlaku cubaan membuka mesin ATM, paket dakwat akan meletup dan mengotorkan semua wang kertas secara automatik. 


Penjenayah yang 'berjaya' membuka mesin ATM tersebut terpaksa berputih mata kerana semua wang tersebut tidak boleh digunakan. Dakwat tersebut tidak akan hilang walaupun dicuci. 

Corak tumpahan dakwat ini tidak sama dengan tumpahan dakwat biasa. Kebiasaannya 3 sisi wang kertas akan terkena dakwat - iaitu di bahagian kiri, kanan dan atas/bawah wang kertas.

Lebih membanggakan lagi, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi ini. 

P/S: Ramai yang menyatakan kekecewaan mereka di Facebook, mengapa pihak bank merosakkan duit tersebut. Bukankah tindakan tersebut akan merugikan pihak bank? Sebenarnya tidak. Duit rosak yang dilupuskan akan digantikan dengan wang baharu. Kos untuk mencetak sekeping wang kertas Malaysia juga tidak semahal yang anda fikir - belasan/puluhan sen sahaja sekeping.



Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...