13 May 2015

Teknologi Hakisan Dakwat Tangani Kes Kecurian ATM

Jika anda dapat duit seperti ini, jangan terima! Berkemungkinan besar ia adalah duit rompakan mesin ATM. Lebih teruk lagi, duit ini tidak sah diperlakukan dengan nilai.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan Teknologi Hakisan Dakwat iaitu kaedah mengotorkan wang kertas di dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang cuba dirosakkan atau dirompak bagi menghalang ia digunakan semula. 

Contoh Wang Kertas Kotor RM10, RM20, RM50 dan RM100
Tujuan utama teknologi ini diperkenalkan adalah untuk menangani insiden kecurian yang melibatkan mesin-mesin ATM di Malaysia. 

Paket kecil yang mengandungi dakwat akan diletakkan di dalam 'cassette' - iaitu suatu bekas yang menempatkan wang kertas di dalamnya. Sekiranya berlaku cubaan membuka mesin ATM, paket dakwat akan meletup dan mengotorkan semua wang kertas secara automatik. 


Penjenayah yang 'berjaya' membuka mesin ATM tersebut terpaksa berputih mata kerana semua wang tersebut tidak boleh digunakan. Dakwat tersebut tidak akan hilang walaupun dicuci. 

Corak tumpahan dakwat ini tidak sama dengan tumpahan dakwat biasa. Kebiasaannya 3 sisi wang kertas akan terkena dakwat - iaitu di bahagian kiri, kanan dan atas/bawah wang kertas.

Lebih membanggakan lagi, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi ini. 

P/S: Ramai yang menyatakan kekecewaan mereka di Facebook, mengapa pihak bank merosakkan duit tersebut. Bukankah tindakan tersebut akan merugikan pihak bank? Sebenarnya tidak. Duit rosak yang dilupuskan akan digantikan dengan wang baharu. Kos untuk mencetak sekeping wang kertas Malaysia juga tidak semahal yang anda fikir - belasan/puluhan sen sahaja sekeping.



Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...