14 January 2024

Cara Menukar Wang Rosak di Bank (TERKINI)

Anda ada terima wang rosak tanpa sengaja dari edaran? Jangan risau! Kini, anda boleh menukar wang rosak di mana-mana bank yang berhampiran dengan anda.



Menurut Bank Negara Malaysia, semua bank di Malaysia dikehendaki terima wang rosak daripada orang ramai termasuklah cawangan bank yang anda tidak memiliki akaun. 

Apa yang perlu anda lakukan ialah membawa wang kertas/wang polimer/duit syiling yang rosak tadi ke mana-mana cawangan bank yang berhampiran dengan anda dan isi borang yang dikehendaki - anda boleh mendapatkan borang tersebut di kaunter.

Kebiasaannya, sekiranya kerosakan yang dialami adalah sedikit (minor), wang gantian akan diberikan pada hari yang sama. 


Tetapi, sekiranya wang kertas rosak tersebut mengalami kerosakan yang teruk, pegawai bank akan menghantar wang rosak tersebut ke Bank Negara Malaysia untuk penilaian oleh pegawai yang bertauliah. 

Pegawai bank yang bertauliah akan menilai setiap wang kertas anda berpandukan spesifikasi yang berikut: 
  • FULL VALUE (NILAI PENUH) : 
    •  melebihi dua per tiga (2/3) daripada saiz asal
  • HALF VALUE (NILAI SEPARUH) :
    •  kurang daripada dua per tiga (2/3) tetapi melebihi satu per dua (1/2) daripada saiz asal
  • NO VALUE (TIADA NILAI) :
    •  kurang satu per dua (1/2) daripada saiz asal 

Tiada nilai akan diberikan bagi penukaran wang palsu, wang terkena dakwat keselamatan, wang dengan contengan pada potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sekiranya pegawai bank enggan menukar wang rosak atau meminta anda pergi ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menukar wang rosak, anda dinasihati untuk mengambil nama pegawai bank, waktu dan tarikh lawatan anda ke bank tersebut dan hubungi BNM untuk membuat aduan di talian 1-300-88-5465 atau ke laman sesawang https://bnmlink.bnm.gov.my. 






27 August 2015

Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Jubli Emas Masjid Negara

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan ulang tahun Masjid Negara ke-50 yang dibuka secara rasmi pada 27 Ogos 1965. Upacara pembukaan tersebut telah diserikan dengan kehadiran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
1. Duit Syiling Peringatan Emas (peruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 99.99 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 200 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (peruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 2,000 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,100 dan hanya terdapat 500 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM250 dan hanya terdapat 2,000 set sahaja. 
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.
 

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:
1. Bahagian Hadapan Duit Syiling
Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan imej Masjid Negara dan perkataan Masjid Negara dalam tulisan bahasa Jawi. Perkataan JUBLI EMAS MASJID NEGARA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun “1965 - 2015” dan landskap Masjid Negara pula dipaparkan di bahagian bawah reka bentuk syiling tersebut.
2. Bahagian Belakang Duit Syiling
Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan logo perayaan sempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” pula dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka syiling tertera di bahagian bawah reka bentuk duit syiling ters

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 28 Ogos 2015 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) dan pejabat-pejabat perwakilan dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

 

13 May 2015

Teknologi Hakisan Dakwat Tangani Kes Kecurian ATM

Jika anda dapat duit seperti ini, jangan terima! Berkemungkinan besar ia adalah duit rompakan mesin ATM. Lebih teruk lagi, duit ini tidak sah diperlakukan dengan nilai.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan Teknologi Hakisan Dakwat iaitu kaedah mengotorkan wang kertas di dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang cuba dirosakkan atau dirompak bagi menghalang ia digunakan semula. 

Contoh Wang Kertas Kotor RM10, RM20, RM50 dan RM100
Tujuan utama teknologi ini diperkenalkan adalah untuk menangani insiden kecurian yang melibatkan mesin-mesin ATM di Malaysia. 

Paket kecil yang mengandungi dakwat akan diletakkan di dalam 'cassette' - iaitu suatu bekas yang menempatkan wang kertas di dalamnya. Sekiranya berlaku cubaan membuka mesin ATM, paket dakwat akan meletup dan mengotorkan semua wang kertas secara automatik. 


Penjenayah yang 'berjaya' membuka mesin ATM tersebut terpaksa berputih mata kerana semua wang tersebut tidak boleh digunakan. Dakwat tersebut tidak akan hilang walaupun dicuci. 

Corak tumpahan dakwat ini tidak sama dengan tumpahan dakwat biasa. Kebiasaannya 3 sisi wang kertas akan terkena dakwat - iaitu di bahagian kiri, kanan dan atas/bawah wang kertas.

Lebih membanggakan lagi, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi ini. 

P/S: Ramai yang menyatakan kekecewaan mereka di Facebook, mengapa pihak bank merosakkan duit tersebut. Bukankah tindakan tersebut akan merugikan pihak bank? Sebenarnya tidak. Duit rosak yang dilupuskan akan digantikan dengan wang baharu. Kos untuk mencetak sekeping wang kertas Malaysia juga tidak semahal yang anda fikir - belasan/puluhan sen sahaja sekeping.



25 December 2014

Majlis Pelancaran Duit Syiling dan Setem Peringatan Sempena Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Sultan Pahang

KUALA LUMPUR - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan majlis pelancaran Duit Syiling Peringatan dan Setem Kenang-Kenangan sempena sambutan 40 tahun pemerintahan baginda, di sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan keluaran syiling peringatan dan setem kenangan 40 tahun pemerintahan Sultan Pahang yang menduduki takhta bagi tempoh tersebut.


Duit Syiling Emas 1oz 999.9
(tanpa nilai muka - without face value)
Syiling peringatan itu dijual dengan harga RM6,999 sekeping dan hanya dikeluarkan sebanyak 3,999 keping. Sementara setem kenangan itu dijual dengan harga RM19.10 bagi satu set folder lengkap (20 keping).

Turut berangkat, Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Terdahulu Adnan dalam ucapannya berkata, pengeluaran setem itu sangat penting bagi generasi akan datang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pemerintahan Sultan Pahang.

Duit syiling peringatan tersebut boleh didapati melalui tempahan daripada Syarikat Triplenine Goldworld Gallery Sdn Bhd, manakala setem kenang-kenangan itu akan dijual di semua pejabat pos seluruh negara mulai 29 Disember ini. - Bernama

SUMBER: Khabar Pahang

29 October 2014

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Taman Negara ke-75

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa pihak mereka akan mengeluarkan set duit syiling peringatan sempena ulang tahun Taman Negara ke-75.

Set duit syiling ini akan mula dijual mulai 28 November hadapan (iaitu 1 bulan dari sekarang). 




Berikut merupakan maklumat dan spesifikasi RINGKAS mengenai duit syiling ini:

1- Duit Syiling Peringatan Emas Peruf (Gold Proof Commemorative Coin) 
Logam (Alloy)Emas (Gold) 
Berat (Weight): 7.96 gram
Ketulenan (Purity): 99.99

Nilai Muka (Face Value): RM100
Jumlah Keluaran (Mintage)500 set sahaja
Harga Jualan (Selling Price): RM1,800 sekotak


2- Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna Peruf (Coloured Silver Proof Commemorative Coin) 
Logam (Alloy)Perak (Silver) 
Berat (Weight): 31.10 gram
Ketulenan (Purity): 99.9

Nilai Muka (Face Value): RM10
Jumlah Keluaran (Mintage)2,000 set sahaja
Harga Jualan (Selling Price)RM200 sekotak


3- Duit Syiling Peringatan Emas Nordic BU [LEBIH DIKENALI SEBAGAI COIN CARD]
(Nordic Gold Brilliant Uncirculated Commemorative Coin) 

Logam (Alloy): Kuprum, Zink, Aluminium, Timah (Copper, Zinc, Aluminium, Tin) 
Berat (Weight): 8.5 gram
Ketulenan (Purity): (mengikut urutan di atas) 89%, 5%, 5%, 1%

Nilai Muka (Face Value): RM1
Jumlah Keluaran (Mintage)25,000 keping sahaja
Harga Jualan (Selling Price)RM10 sekeping


Sudah menjadi kelaziman bagi Bank Negara Malaysia untuk menjual set-set duit syiling ini dalam bentuk set lengkap dan separa-lengkap.

SET OF 2: Emas Nordic + Perak Peruf (Nordic Gold + Silver Proof)
Jumlah Keluaran (Mintage)750 set
Harga Jualan (Selling Price)RM250 sekotak 

SET OF 3: Emas Nordic + Perak Peruf + Emas Peruf (Nordic Gold + Silver Proof + Gold Proof)
Jumlah Keluaran (Mintage)750 set
Harga Jualan (Selling Price)RM2,100 sekotak 

JIKA ANDA BERMINAT UNTUK MEMBELINYA DI BANK NEGARA MALAYSIA, SILA RUJUK ARTIKEL SAYA DI SINI: http://malaysiabanknotesandcoins.blogspot.com/2013/11/duit-syiling-peringatan-sempena-ulang.html

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA LAYARI: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_press&pg=en_press_all&ac=3088&lang=en

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...