20 December 2013

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia ke-80



Insya-Allah, pada 23 Disember ini, Bank Negara Malaysia bakal mengeluarkan duit syiling peringatan sempena Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia yang ke-80. Berikut merupakan spesifikasi teknikal duit syiling tersebut.


Gambar ihsan daripada tuan Ariff Sham
Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-80. Kewujudan Angkatan Tentera Malaysia bermula dengan pembentukan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933, yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Tentera Malaysia berikutan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.  Angkatan Tentera Malaysia telah berkembang sejak lapan dekad yang lalu daripada sebuah pasukan tentera kepada Angkatan Tentera Serba Lengkap dan Canggih (Full Spectrum Force)
Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
  1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

     
  2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam Perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM150 sekeping. Sebanyak 1,000 keping sahaja ditempa.

     
  3. Duit Syiling Peringatan Emas NordicNilai muka duit syiling Emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,000 dan hanya terdapat 500 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM200 dan hanya terdapat 750 set sahaja. 

Lokasi Jualan
Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 23 Disember 2013 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta  cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

No comments:

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...